Love isn't something you find. Love is something that finds you.


24 June, 2012

Motivasi Semangat !

Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum.

Apa khabar? Alhamdulillah saya sudahpun mula bercuti. Saya rasa sayalah orang pertama yang habis exam terus pulang. Alhamdulillah, sampai juga Perak, akhirnya setelah 8 jam perjalanan. Letih memang letih. Tapi nak buat macamana,kan? Terima kasih Mak & Abah sebab sudi menjemput anakmu pulang. ^_^

Sedar tak sedar sudah hampir setahun saya di Terengganu. Banyak yang saya pelajari. Banyak yang saya tempuhi. Itulah asam garam kehidupan saya. Saya cukup rasa bersyukur dan bertuah kerana dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sentiasa bersama saya. Melihat apa yang saya lalui sekarang saya  rasa jauh lebih bahagia dengan apa yang saya ada. Bukan niat ingin mengingati masa lalu yang telah pergi apatah ingin membandingkan masa lalu dengan masa sekarang. Tapi untuk merenung betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan buat hambanya dan hikmahnya dalam kehidupan yang saya lalui.

Saya telah lalui jatuh bangunnya dalam mengejar impian saya..matang atau tidak saya menempuhi ujian yang diberikan dan bagaimana saya mengawal hati dan perasaan yang berbolak balik dalam jiwa. Dari dulu hingga kini masih tetap berlaku cuma bezanya saya mampu untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Sungguh. Saya terasa macam mengejar bayang-bayang sendiri. Takut bayang-bayang itu akan terluka kerana saya asyik memijaknya tanpa saya sedari atau saya yang keletihan kerana cuba melarikan diri daripada bayang-bayang sendiri. 

Masa lalu saya adalah bayang-bayang saya. Saya tidak akan menganggap masa lalu saya itu adalah sesuatu yang perlu saya kesali dan juga saya tidak akan cuba melarikan diri daripada masa lalu sehingga saya terpaksa menjadi orang lain. Saya adalah saya. Kalau tiada masa lalu saya tidak akan jadi setabah ini. Kalau tidak kerana masa lalu saya tidak akan sekuat ini. Saya bersyukur kerana saya dapat belajar dari masa lalu.

Saat ini saya bahagia dapat melalui hari demi hari dengan minda yang positif. Dari minda yang positif itulah yang akan melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sehingga kadang-kadang saya jadi takut untuk berdepan dengan kebahagiaan. Sesuatu yang susah untuk kita dapatkan itu biasanya itulah yang paling kita puas hati. Tapi sesuatu yang kita mudah dapat saya bimbang keindahannya hanya sementara sahaja. Bukan menolak rasa bahagia yang bertandang tapi saya tidak mahu menyesal di kemudian hari. Jangan fikir apabila kita telah mendapatkan sesuatu kita sudah berhak atasnya. Kita masih harus mendoakan semoga apa yang kita miliki itu akan kekal begitu. Yang baik kita teruskan,yang tidak itu kita usaha untuk perbaiki.

Saya tahu segalanya tidak akan berakhir begitu sahaja. Kehidupan ini menurut putaran alam. Kalau bersederhana kita tidak akan rasa sakitnya jatuh berbanding apabila kita jatuh disaat kita sudah miliki segalanya dan mencapai apa yang kita impikan. Simpanlah angan setinggi yang boleh tapi jangan sampai ianya menjadi angan-angan Mat Jenin. Sekurang-kurangnya saya menyedari hidup saya seperti apa dan seperti mana. Fokus utama adalah Allah dan bekalan buat saham di akhirat.

Saya selalu katakan yang apa yang berlaku bukan atas perancangan dan kehendak saya. Tapi sebenarnya, tanpa sedar saya memang telah merancangnya. Kenapa? Kerana saat kita diberi pilihan untuk memilih, bukankah kita sudah berfikir sedalam-dalamnya apa yang patut kita lakukan?Bukankah itu namanya merancang?Jadi, hidup ini perlu ada matlamat dan perancangan yang rapi. Kadang-kadang apa yang kita rancangkan tidak seperti apa yang kita mahu maka redha, ikhlas dan pasrahlah. Allah itu Maha Kaya. Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Berbaik sangkalah pada Allah. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, Allah jualah yang menentukan natijahnya.

Saya berdoa pada Allah semoga kita semua akan menjadi lebih baik daripada semalam. Positif akan membuatkan kita sentiasa awet muda dan ceria tapi jangan ingat negatif itu semuanya buruk. Negatif adalah pasangannya. Jika selamanya kita mudah apalah kiranya sesekali kita bersusah supaya kita tidak terasa diri ini sudah terbaik ataupun lebih baik dari semua orang. Bukankah kita semua tidak sempurna?

Teruskan hidup dengan semangat dan keyakinan pada Allah. Selalu sematkan dalam hati. Doa + Usaha + Tawakal kunci kejayaan. Kejayaan kunci kebahagiaan!Insya-Allah. Amin.

2 comments:

  1. Semangat!!

    atin, kan Karen Horney ada kata..
    "Masa silam adalah penting tapi masa depan juga penting." eh yeke teori ni? :P

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks,Sal..blog atn dh bole follow.nt sy follw blog awk pulak eh..blog awk dh berubah wajah. I like!

      Delete