Bismillahirahmanirahim...
Assalamualaikum.
Saya khabar tak baik. Bermula dengan gatal-gatal tekak, batuk dan selesema. Ia terus berlarutan. Sakit kepala. Saya yakin sakit suatu rahmat. Kifarah atas dosa lalu. Ada baiknya ia hadir kerana saya sedar ada sesuatu yang hilang. Saya ingin bermujahadah dengan Allah. Sabar untuk seminggu ya. Masa boleh solat sunat malas. Bila tak boleh baru rasa nak buat solat sunat. Apalah tak istiqamah langsung. Tapi masih ada cara untuk tenangkan hati ini. Bibir dan hati terus berzikir. Mohon kekuatan.
Pernah tak rasa dua perasaan dalam suatu masa?Mahu tapi tak mahu. Suka tapi tak suka. Apakah hati ini sedang keliru? Saya nak gembira tapi takut. Sekadar satu perasaan yang sukar diterjemahkan. Rasa sudah betul tapi hakikatnya, ada yang tidak betul. Tapi apa ya?Berhenti salahkan diri. Berhenti salahkan keadaan. Hatikah yang salah?Mengapa mudah berubah-ubah?
Kadang-kadang hati jadi sensatif. Gurauan kecil membuatkan hati ini menangis. Itulah wanita. Hatinya rapuh. Sabarlah. Semua ini hanya ujian. Ujian kecil seperti ini tak mungkin semudah ini menjadi lemah? Mohon kekuatan. Emosi terganggu. Semuanya tidak kena dengan jiwa. Hari menjadi hambar. Hati jadi tidak tenteram. Cuba untuk kuat. Tapi tidak mampu lagi. Perasaan di pendam bersama rintihan dalam hati. Tidak tahu harus mengadu pada siapa. Hanya Allah tempat bergantung.
Cuba untuk menjadi rasional. Nikmati perasaan yang hadir. Untuk bahagia wajar punya perasaan takut. Takut ada yang salah. Wajarlah semua manusia berbuat silap. Manusia tidak sempurna. Dari perasaan takut itu yang menghadirkan rasa keliru. Sedangkan jiwa hanya dahagakan keseronokan. Keseronokkan wujud apabila hati menjadi teruja tapi bahagia hadir hanya apabila hati temui ketenangan. Bila melihat ciptaannya, hati menjadi tenang. Subhanallah. Indahnya nilai sebuah ketenangan.
Kadang-kadang mahu hentikan masa. Lelah di pertengahan jalan. Yang dicari masih tidak berjumpa. Apa yang hilang? Kemana hilangnya? Fikiran menjadi rungsing. Entah apa yang menganggu. Emosi yang tidak diingini muncul silih berganti. Marah. Sedih. Takut. Terasing. Benci. Sayang. Ah, apa yang berlaku pada jiwa ini? Adakah orang lain memahami apa yang dirasai? Senyap sunyi. Tiada jawapan. Zikir bergema. Hanya Allah yang memahami.
Biarlah hati ini terus berbicara. Berkongsi sesuatu yang orang lain tidak akan faham. Mengingati segala yang indah daripada terus berfikir sesuatu yang belum pasti hanya akan membuatkan diri ini lelah.
'Allah, bawalah hati ini dekat padamu. Aku yakin pada setiap yang Engkau tetapkan pada aku. Aku tidak mahu minta lebih. Kerana semakin lebih semakin aku takut untuk menerima. Terus menjaga hati ini. Sebelum aku serahkan cintaku pada seseorang. Aku harus melaksanakan cintaku pada Mu Ya Allah. Agar nanti si dia akan lebih menjaga aku sepertimana Engkau menjaga aku.'
Angan-angan mula disimpan. Menghitung hari membina mahligai syurga bersama pasangan hati. Diiringi keredhaan dan rahmat Allah. Indah bila membayangkan. Sungguh saya tidak mahu merosakkan bahagia itu. Dalam tempoh itu, pelbagai ujian yang akan hadir. Saya meyakini si dia. Dia seorang yang baik akhlaknya. Bertanggungjawab dan prihatin. Kadang-kadang saya merasakan dia seperti seorang abang yang menjaga adiknya. Saya mengharapkan dia akan menjaga saya dengan sebaiknya. Kalau orang bertanya mengapa saya memilih dia? Akan saya jawab, saya tidak memilih. Allah yang pilihkan.
Semoga dia akan terus memahami diri saya. Saya sekadar wanita biasa yang berusaha untuk menjadi solehah. Saya berdoa semoga impian ini tercapai. Bersama restu dan rahmat daripada Allah. Insya-Allah masanya akan tiba juga.
Dalam hidup ini
Tiada siapa yang mampu mencintai kita sepertimana Allah mencintai kita.
Cinta Allah kepada para hambaNya begitu mendalam.
Begitu indah dan begitu suci.
Allah mencipta kita dengan penuh rasa cinta
Lihat sahajalah bagaimana Allah menyayangi kita
Dia sentiasa ada bersama kita
Dia selalu sahaja bersedia untuk mendengar masalah kita
Dia tidak pernah bosan memperkenankan doa kita
Dia juga yang tidak pernah jemu membantu kita dalam kesusahan
Waktu kita terperangkap ke dalam lembah kegelapan
Tercari – cari cahaya
Dia hadir
Melimpahkan cahaya
Yang membuatkan iman yang tadinya malap
Kembali bernyala
Bila tiada sesiapa memahami kita,
Allah ada untuk memahami dan memujuki hati kita
Bila tiada sesiapa mahu mendengar kata hati kita,
Allah tetap setia mendengar setiap keluhan yang terlahir dari jiwa kita.
Bila tiada sesiapa lagi yang ada dengan kita
Allah ada untuk menemani kita.
Ingat,
Jangan pernah fikir bahawa kita berseorangan.
Allah itu sentiasa ada bersama kita.
No comments:
Post a Comment